Langkau ke kandungan utama
Hearing Partners

Segalanya Tentang Tinitus dan Telinga Berdesing: Punca, Diagnosis dan Cara Mengawalnya

5 min baca
Diterbitkan 23 Aug 2024 / Kemas kini terakhir 15 Aug 2026
Disemak oleh Joanne Loo
Wanita yang mengalami tinitus

Tinitus adalah suatu keadaan yang biasa terjadi. Menurut Hospital Gleneagles Malaysia kira-kira 20% golongan dewasa mengalaminya1. Walaupun ia boleh terjadi kepada semua golongan usia, tinitus atau masalah telinga berdesing biasanya terjadi kepada mereka yang berumur antara 40 hingga 70 tahun. Golongan lelaki juga lebih cenderung untuk mengalami tinitus berbanding wanita.

Walaupun hampir 1 daripada 5 individu mengalami tinitus, Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan bahawa hanya 0.5% hingga 2% kes sahaja yang menjejaskan kehidupan seharian penghidapnya2. Artikel ini akan membincangkan punca tinitus, cara diagnosis dan kawalan serta cara untuk mencegahnya. Kita juga akan membincangkan beberapa soalan lazim mengenai keadaan ini.

Perkara Penting Untuk Difahami

  • Tinitus ialah persepsi berdesing, berdengung atau bunyi lain di dalam telinga tanpa sebarang sumber dari luar.
  • Tinitus mungkin disebabkan oleh beberapa punca seperti hilang pendengaran, tahi telinga tersumbat, kecederaan kepala, penggunaan ubat tertentu, faktor psikologi, ketumbuhan dan keadaan vaskular.
  • Pilihan pengurusan tinitus termasuklah pemakaian alat bantu pendengaran, membuang tahi telinga, perubahan gaya hidup, terapi bunyi, terapi perhatian dan Terapi Latihan Semula Tinitus (TRT).
  • Langkah untuk menghindari tinitus termasuklah melindungi telinga anda daripada bunyi bising, mengekalkan gaya hidup sihat dan melakukan ujian pendengaran secara berkala.

Apakah Itu Telinga Berdesing?

Apakah maksud telinga berdesing ataupun dikenali sebagai tinitus? Tinitus ialah satu keadaan yang dicirikan oleh persepsi berdesing, berdengung atau bunyi lain di dalam telinga tanpa sebarang sumber dari luar. Ia merupakan simptom yang boleh dikaitkan dengan masalah pendengaran atau kesihatan. Tinitus boleh jadi bersifat sederhana dan sekali-sekala. Namun, boleh juga bersifat mengganggu dan berterusan. Ia juga boleh berlaku pada sebelah telinga sahaja atau kedua-dua belah telinga.

Apakah Punca Telinga Berdesing?

Telinga berdesing, atau tinitus, boleh timbul akibat daripada pelbagai isu. Senarai berikut membincangkan beberapa punca biasa, namun ia tidaklah merangkumi semua dan mungkin terdapat faktor lain yang menjadi punca telinga berdengung.

Hilang Pendengaran

Kehilangan pendengaran konduktif

Kehilangan pendengaran konduktif terjadi apabila masalah pada bahagian telinga luar atau tengah menghalang bunyi daripada dihantar secara berkesan ke telinga dalam. Antara sebab kenapa telinga berdesing termasuklah jangkitan telinga, pengumpulan cecair, tahi telinga tersumbat, struktur telinga yang tidak normal, di mana ia mengakibatkan tinitus.

Kehilangan pendengaran sensorineural

Kehilangan pendengaran sensorineural terjadi disebabkan kerosakan pada telinga dalam (koklea) atau laluan saraf auditori ke otak. Faktor genetik dan penyakit juga boleh menjejaskan saraf auditori dan telinga dalam serta boleh menjadi punca kepada masalah kehilangan pendengaran ini. Ia biasanya bersifat kekal dan boleh mengakibatkan tinitus.

Presbikusis

Presbikusis ialah masalah kehilangan pendengaran yang berkaitan dengan faktor usia yang boleh menjejaskan kemampuan seseorang untuk mendengar bunyi berfrekuensi tinggi. Semakin kita berusia, sel sensori dalam koklea akan merosot secara perlahan-lahan, menyebabkan sensitiviti mendengar semakin menurun. Akibatnya, percakapan menjadi semakin sukar untuk didengari, terutamanya dalam persekitaran yang bising. Presbikusis juga boleh menyebabkan tinitus pada segolongan individu.

Kehilangan Pendengaran Akibat Bunyi Bising

Kehilangan pendengaran akibat bunyi bising terjadi disebabkan pendedahan berpanjangan kepada bunyi bising atau satu bunyi yang sangat hingar. Kerosakan ini memberi kesan kepada struktur sensitif di dalam koklea, yang menyebabkan hilang pendengaran kekal dan tinitus.

Ambil ujian pendengaran hari ini!

Sekiranya anda mengesyaki yang anda mengalami kehilangan pendengaran, buat janji temu di salah satu daripada 15 klinik berhampiran kami di seluruh negara sekarang!

Tahi telinga tersumbat

Tahi telinga tersumbat juga boleh menjadi sebab kenapa telinga berdesing dengan memberikan tekanan dalam saluran telinga dan gegendang telinga, sekaligus mengganggu pendengaran normal. Sistem auditori juga mungkin akan cuba mengatasi masalah hilang pendengaran dengan menyebabkan telinga berdengung sebelah kanan dan kiri.

Kecederaan kepala

Kecederaan kepala seperti gegaran otak, tengkorak retak dan trauma teruk juga boleh menyebabkan tinitus. Apabila telinga dalam, saraf auditori atau bahagian otak yang terlibat dalam proses pendengaran menjadi rosak, persepsi bunyi yang tidak normal boleh terjadi. Tahap keterukan tinitus bergantung kepada tahap kerosakan yang berlaku.

Ubat ototoksik

Ubat ototoksik boleh mencetus tinitus dengan menyebabkan kerosakan pada bahagian telinga dalam atau saraf auditori. Ubat-ubatan ini boleh mengganggu fungsi pendengaran yang normal, seterusnya menghasilkan persepsi bunyi tidak normal dan menjadi punca telinga berdengung atau berdesing. 

Contoh ubat-ubatan ototoksi termasuklah:

  • Sesetengah antibiotik seperti aminoglikosida
  • Sesetengah rawatan kanser
  • Diuretik kawasan lengkung dan pil air
  • Ubat anti-radang bukan steroid (NSAID)

Gangguan psikologi

Tinitus ada dikaitkan dengan kadar gangguan psikologi yang tinggi seperti depresi, gangguan tidur dan stres. Gangguan ini boleh menguatkan gejala tinitus dengan meningkatkan persepsi bunyi seseorang dan berisiko untuk meningkatkan kebimbangan dan kesedaran diri.

Ketumbuhan

Schwannomas vestibular merupakan satu ketumbuhan tidak berbahaya yang tumbuh pada saraf vestibulokoklear yang boleh menyebabkan tinitus. Apabila ketumbuhan ini membesar, ia akan menekan atau merosakkan serat saraf. Gangguan pada fungsi saraf ini menyebabkan tinitus terjadi apabila otak memproses isyarat yang tidak teratur ini sebagai bunyi berdengung atau berdesing.

Vaskular tidak normal 

Vaskular tidak normal seperti salur darah yang cacat berhampiran telinga boleh mengakibatkan tinitus dengan menghasilkan aliran darah yang tidak teratur dan meningkatkan gangguan darah. Sifat tidak normal ini boleh mengubah corak peredaran yang normal di sekitar struktur pendengaran dan seterusnya menjadi punca telinga berdesing yang turut dikenali sebagai tinitus.

Bagaimanakah Cara Mendiagnosis Telinga Berdesing?

Sekiranya anda mengalami tinitus, proses mendiagnosis biasanya melibatkan perbincangan dengan sama ada audiologis atau doktor pakar Hidung, Telinga dan Tekak (ENT). Di Hearing Partners, berikut adalah cara bagaimana proses diagnosis dan pengawalan tinitus dilaksanakan:

1. Menyemak sejarah perubatan anda

Kami akan bermula dengan melakukan semakan terhadap sejarah perubatan anda. Ini membantu audiologis kami memahami sebarang keadaan kesihatan atau masalah lama yang menyumbang kepada tinitus anda.

2. Mengisi soal selidik untuk memahami tahap keterukan tinitus

Untuk memahami tahap keterukan dan kesan tinitus anda, anda akan diminta untuk mengisi soal selidik yang terperinci. Ini membantu dalam menilai sejauh mana tinitus anda menjejaskan kehidupan seharian anda dan memberi panduan kepada audiologis untuk menyesuaikan pelan penjagaan anda.

3. Mengambil ujian pendengaran untuk mengesan sebarang risiko kehilangan pendengaran

Ujian pendengaran yang menyeluruh juga akan dijalankan untuk menentukan sama ada terdapat sebarang masalah kehilangan pendengaran yang berkaitan. Keputusan ujian ini boleh memberikan maklumat penting tentang punca kepada tinitus anda dan membantu dalam membina pelan pengurusannya.

4. Audiologis akan menerangkan maksud telinga berdesing atau tinitus

Audiologis seterusnya akan menerangkan apakah itu tinitus, termasuklah punca-punca yang mungkin dan bagaimana ia memberi kesan kepada anda. Memahami keadaan ini boleh menjadi langkah pertama yang penting dalam mengawal masalah tinitus. 

5. Teroka pilihan pengurusan tinitus yang berbeza

Bergantung kepada keputusannya, audiologis akan membincangkan pelbagai pilihan pengurusan tinitus dengan anda. Ini mungkin termasuk pemakaian alat bantuan pendengaran, terapi bunyi atau kaedah rawatan lain yang direka untuk mengurangkan simptom. Sekiranya perlu, anda juga mungkin akan dirujuk dengan doktor pakar ENT.

Anda rasa anda mengalami tinitus?

Jangan tunggu lagi. Lindungi pendengaran anda hari ini dengan menempah ujian pendengaran di Hearing Partners dan dapatkan penyembuh yang anda perlukan.

Cara Mengawal Telinga Berdesing

Cara mengawal tinitus melibatkan pelbagai strategi yang disesuaikan dengan anda bagi mengurangkan simptom. Bahagian ini akan meneroka beberapa kaedah berbeza dan alat yang tersedia yang boleh membantu anda mengatasi masalah tinitus.

Alat bantuan pendengaran

Alat bantuan pendengaran boleh memainkan peranan penting dalam menguruskan tinitus, terutamanya apabila ia berkaitan dengan kehilangan pendengaran. Bagi sebahagian besar individu, tinitus boleh diterukkan lagi dengan pengurangan kemasukan bunyi, yang membuatkan bunyi berdesing menjadi lebih ketara. 

Alat bantuan pendengaran menyelesaikan masalah ini dengan kaedah “pengaburan” di mana ia menawarkan auditori gangguan yang boleh mengurangkan persepsi tinitus. Contohnya, dengan menggunakan alat bantuan pendengaran Oticon berserta ciri Tinnitus SoundSupport™, ia memainkan bunyi putih yang menenangkan atau bunyi ombak yang dimainkan bagi mengatasi bunyi bising tinitus.

Bunyi-bunyi ini dipilih untuk menenangkan dan mengalihkan perhatian, sekaligus menjadikannya mudah untuk anda fokus pada aktiviti seharian tanpa rasa diganggu oleh tinitus.

Membuang tahi telinga

Mencuci tahi telinga juga boleh menjadi langkah penting dalam menangani tinitus. Dengan membuang tahi telinga yang tersumbat, saluran telinga yang terhalang boleh dibersihkan. Ini boleh mengurangkan telinga berdengung sebelah kanan dan kiri.

Kaedah pencucian tahi telinga yang profesional biasanya dilakukan oleh pakar ENT yang menggunakan alat dan teknik khas untuk membersihkan saluran telinga secara berkesan dan selamat. Proses ini biasanya melibatkan penggunaan peralatan seperti pencungkil telinga, alat penyedut atau sistem irigasi untuk membuang tahi telinga tanpa menyebabkan kerosakan kepada struktur sensitif dalam telinga. 

Penting untuk kita mengelak daripada mencuci tahi telinga sendiri di rumah. Menggunakan putik kapas mungkin akan menolak tahi telinga lebih jauh ke dalam saluran telinga, di mana ia berisiko untuk menyebabkan kecederaan atau penyumbatan yang lebih teruk. Tambahan lagi, teknik yang salah juga boleh menyebabkan jangkitan atau kerosakan pada tisu telinga yang lembut.

Nota:

Hearing Partners tidak menawarkan perkhidmatan pencucian telinga atau pembuangan tahi telinga.

Perubahan gaya hidup

Mengawal tinitus selalunya melibatkan pelaksanaan perubahan gaya hidup positif yang memberikan kelegaan besar dan membantu anda menanganinya dengan lebih berkesan. Berikut adalah beberapa perubahan gaya hidup yang boleh membantu dalam pengurusan masalah tinitus:

  • Melakukan senaman regangan leher untuk mengurangkan sedikit tekanan yang boleh menyumbang kepada simptom tinitus
  • Melakukan hobi baharu untuk mengalihkan perhatian anda daripada tinitus
  • Mengamalkan jadual tidur yang konsisten kerana kekurangan tidur boleh menerukkan lagi tinitus
  • Mengelakkan pengambilan produk yang mengandungi kafein (contohnya kopi, teh, air kola, alkohol) kerana kafein meningkatkan tekanan darah dan menerukkan lagi tinitus

Menyertai kumpulan sokongan tinitus juga boleh menjadi satu pilihan. Kumpulan sokongan ini memberikan peluang kepada anda untuk belajar cara orang lain mengawal simptom mereka dan berkongsi strategi bagi menanganinya.

Terapi Bunyi 

Terapi bunyi mengawal tinitus dengan memperkenalkan bunyi luaran yang membantu mengaburkan atau mengurangkan persepsi bunyi berdengung atau berdesing. Pendekatan ini mengalihkan perhatian otak daripada tinitus dan mencipta persekitaran auditori yang lebih selesa.

Satu langkah mudah untuk melaksanakan terapi bunyi adalah dengan menggunakan bunyi seharian untuk mengaburkan tinitus. Contohnya, membuka TV atau membuka tingkap untuk mendengar bunyi suasana alam semula jadi boleh membantu memberikan kelegaan segera. 

Untuk terapi bunyi yang lebih berfokus, peranti khusus seperti penjana bunyi putih atau penjana bunyi khas boleh digunakan. Peranti ini menghasilkan bunyi latar yang konsisten, termasuklah bunyi putih atau bunyi semula jadi seperti ombak laut atau hujan untuk mengaburkan tinitus secara berkesan. 

Bantal dengan pembesar suara juga menjadi lagi satu pilihan terapi di mana ia menawarkan cara mudah untuk mendengar bunyi yang menenangkan ketika berehat sekaligus meningkatkan keselesaan ketika tidur.

Terapi Perhatian

Terapi perhatian, secara tepatnya Terapi Tingkah Laku Kognitif (CBT), adalah pendekatan yang sering disyorkan untuk mengawal tinitus. Ia selalu disarankan untuk individu yang mengalami gejala tinitus tetapi didiagnosis dengan pendengaran normal selepas melakukan ujian pendengaran dengan audiologis.

Matlamatnya adalah untuk menggalakkan pembiasaan di mana otak secara beransur-ansur mengurangkan reaksi emosi dan perhatian terhadap tinitus. Ia menjadikannya lebih mudah untuk hidup bersama dengan keadaan tersebut. Berikut adalah bagaimana terapi perhatian boleh membantu:

Terapi Tingkah Laku Kognitif (CBT)

CBT adalah satu bentuk psikoterapi yang membantu individu mengubah pemikiran negatif melalui corak dan tingkah laku yang berkaitan dengan tinitus. Ia memfokuskan kepada:

  • Penstrukturan kognitif: Mengenal pasti dan mencabar pemikiran negatif tentang tinitus dan menggantikannya dengan pemikiran yang lebih positif dan realistik.
  • Teknik tingkah laku: Menggalakkan relaksasi dan penyertaan dalam aktiviti menyeronokkan untuk mengurangkan fokus terhadap tinitus.

Terapi Kognitif Berasaskan Kesedaran (MBCT)

MBCT menggabungkan CBT tradisional dengan strategi kesedaran. Ia membantu individu untuk menerima keadaan tinitus mereka berbanding cuba untuk mengubahnya di mana ini boleh mengurangkan kesan emosi.

Terapi Reda dan Komitmen (ACT)

ACT ialah lagi satu bentuk CBT yang menekankan penerimaan tinitus dan komitmen terhadap perbuatan yang selari dengan nilai peribadi walaupun mengalami simptom tinitus.

Terapi Latihan Semula Tinitus (TRT)

Terapi Latihan Semula Tinitus (TRT) ialah pendekatan terapeutik yang menggabungkan terapi bunyi dengan kaunseling untuk menangani kedua-dua aspek auditori dan emosi tinitus. Dengan mengurangkan fokus terhadap tinitus dalam kehidupan seharian, ia bertujuan untuk mengurangkan kesan daripada keadaan tersebut, sekaligus membantu individu untuk mendapatkan semula kawalan dan rasa normal dalam hidup mereka.

Seperti yang dijelaskan di atas, terapi bunyi menggunakan bunyi latar seperti bunyi putih untuk mengaburkan tinitus dan mengurangkan penonjolannya. Ini membantu untuk membiasakan otak dengan bunyi tinitus. Sebaliknya, sesi kaunseling pula mengubah reaksi emosi terhadap tinitus dan membantu individu untuk menguruskan reaksi mereka dan mengurangkan kebimbangan atau stres yang berkaitan dengan keadaan tersebut.

Cara untuk Mencegah Telinga Berdesing

Walaupun tidak mungkin untuk kita mencegah tinitus sepenuhnya, mengambil langkah pencegahan tertentu boleh mengurangkan risiko anda dan membantu mengekalkan keseluruhan kesihatan pendengaran anda. Dalam bahagian ini, kita akan menyenaraikan strategi-strategi berkesan bagi mencegah berlakunya tinitus.

Lindungi telinga anda

Mencegah tinitus melibatkan usaha melindungi telinga anda daripada pendedahan berlebihan kepada bunyi bising yang kuat. Secara amnya, bunyi pada dan lebih daripada paras 85 dBA dianggap sebagai berbahaya.

Pada 85 dBA, anda boleh terdedah sehingga 8 jam sehari tanpa sebarang risiko kerosakan pendengaran yang besar. Namun, bagi setiap peningkatan kelantangan 3 dBA, tempoh pendedahan yang selamat berkurangan sebanyak separuh. Contohnya, pada 88 dBA, pendedahan selamat maksimum berkurangan ke 4 jam dan trend ini berterusan selaras dengan peningkatan tahap kelantangan. 

Untuk melindungi telinga anda daripada masalah kehilangan pendengaran akibat bunyi bising dan mengurangkan risiko tinitus, pertimbangkan kaedah-kaedah berikut:

  • Elakkan diri daripada tempat yang bising sekiranya boleh.
  • Menggunakan alat perlindungan pendengaran, contohnya penyumbat telinga.
  • Hadkan tempoh sesi mendengar.
  • Kekalkan tahap kelantangan fon kepala anda bawah 70%.

Lakukan perubahan gaya hidup

Merokok boleh mengecilkan saluran darah dan menyebabkan pengurangan aliran darah ke telinga, manakala pengambilan alkohol pula akan meningkatkan tekanan darah. Tabiat-tabiat ini mengganggu peredaran darah, di mana ia akan menggalakkan terjadinya atau menerukkan tinitus. Obesiti juga menjadi lagi satu faktor risiko tinitus kerana berat berlebihan boleh meninggikan tekanan darah. 

Mengamalkan gaya hidup yang sihat memainkan peranan penting dalam mencegah tinitus. Tekanan darah anda boleh dikawal secara mudah dengan mengelakkan merokok, mengehadkan pengambilan alkohol dan mengekalkan berat badan yang sihat. Risiko tinitus yang disebabkan oleh vaskular tidak normal seterusnya dapat dikurangkan.

Menjaga kesihatan pendengaran anda

Menjalankan ujian pendengaran secara berkala adalah kunci penting dalam mengesan tanda-tanda awal kehilangan pendengaran atau masalah telinga lain yang boleh membawa kepada tinitus. Ujian pendengaran berkala boleh mengenal pasti perubahan kecil dalam kemampuan mendengar kita, yang mungkin tidak dapat dikesan tetapi boleh menyumbang kepada tinitus sekiranya dibiarkan tidak dirawat. Pengesanan awal membolehkan rawatan segera dilakukan, sekaligus mengelakkan kehilangan pendengaran menjadi semakin teruk dan mengurangkan risiko anda untuk terkena tinitus.

Soalan Lazim tentang Tinitus dan Telinga Berdesing

Tinitus secara amnya boleh diklasifikasikan kepada dua jenis utama: tinitus subjektif dan tinitus objektif.

  • Tinitus subjektif

Ini adalah sejenis tinitus yang paling biasa berlaku, menyumbang kepada kira-kira 95% kes. Tinitus subjektif mempunyai ciri persepsi bunyi yang tidak dapat didengari oleh orang lain. Bunyi yang didengari tersebut boleh jadi dalam bentuk berdesing dan bersiul serta sering dikaitkan dengan pelbagai faktor seperti kehilangan pendengaran. 

  • Tinitus objektif

Tinitus objektif sebaliknya jarang berlaku, menjejaskan lebih kurang 5% individu sahaja. Tidak seperti tinitus subjektif, tinitus objektif melibatkan bunyi sebenar yang dihasilkan oleh proses badan. Tinitus objektif biasanya disebabkan oleh keadaan fizikal seperti saluran darah yang tidak normal atau pengecutan otot berhampiran telinga.

Rujukan

1Dirujuk daripada Hospital Gleneagles Malaysia
2Dirujuk daripada Jabatan Kesihatan Malaysia

Joanne Loo

Joanne sangat gembira dengan peranannya sebagai ahli audiologi, membantu individu cacat pendengaran dengan mengesyorkan alat pendengaran yang membantu mereka berhubung semula dengan dunia di sekeliling mereka. Dia gemar bertemu orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat, menjadikan pekerjaannya memuaskan dan mengujakan.

Joanne Loo

Pakar Audiologi Klinikal

Jadualkan Ujian Pendengaran Percuma

Medan wajib ditandakan.

Saya bersetuju untuk dihubungi mengenai temu janji saya.

Cubit atau tatal untuk zum, seret untuk menggerak, Esc untuk menutup

Tempah temu janji